Sidang Nadi Rakyat akan jelajah negeri, daerah – Shamsul Iskandar


Sidang Nadi Rakyat yang buat julung kalinya berjaya dianjurkan di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya hari ini akan diteruskan pada masa hadapan

Pengerusi Sekretariat Sidang Nadi Rakyat, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, sidang tersebut dianggap berjaya kerana telah menghimpunkan 500 peserta dan lebih banyak lagi yang mengikuti secara langsung di Facebook.

“Ini pertama kali kita sediakan satu platform tidak mengira apa parti. Sebab itu kita sediakan google form dan sesiapa pun boleh mengisi. Termasuk rakan rakan dari pemandu Grab tadi, mereka datang secara walk in

“Kita dapat 2 jam sidang, diberikan ruang banyak pencelahan, isu isu yang telah dibawa sama ada daripada orang biasa sampai ke kumpulan segmen penting seperti pemandu teksi, pekerja kilang dan yang aktif dalam seni dan budaya.

“Ini julung kali format di mana rakyat itu bersuara dan dikawal oleh Speaker, kita buat ala Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, semua isu yang ditimbulkan oleh rakyat dalam sidang di dewan hotel berkenaan akan menjadi input berguna untuk dibawa ke perbahasan Dewan Rakyat sesi Julai – Ogos ini oleh Ahli ahli Parlimen yang turut hadir.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga berkata, sidang berkenaan akan diteruskan ke peringkat negeri dan daerah untuk mendengar suara akar umbi, terutama di negeri negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan.

“Sidang Nadi Rakyat akan kita bawa turun ke negeri dan daerah dan formatnya lebih ringkas dan mudah.

“Yang kita perlukan ialah penyertaan rakyat di peringkat negeri dan parlimen. Kita akan turun ke peringkat akar umbi dan dapatkan pandangan akar umbi.

“Saya ingin alu alukan kalau ada rakan yang minat untuk anjurkan boleh hubungi kami. Beberapa kawasan di Negeri Sembilan dan Selangor tadi minta diadakan di tempat mereka.

“Ini akan jadi platform di mana rakyat boleh meluahkan masalah, kerajaan yang kita tadbir boleh mendengar dan ambil tindakan untuk selesaikan masalah,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/sidang-nadi-rakyat-akan-jelajah-negeri-daerah-shamsul-iskandar

‘Kalau Mat Kilau masih hidup dia akan lawan kerajaan tidak pedulikan rakyat’ – Shamsul

Sidang Nadi Rakyat yang bermula pagi ini di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya dibuka dengan ucapan menyengat Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menurut pencetus idea Sidang Nadi Rakyat itu, kesusahan hidup rakyat ketika ini sudah sampai ke tahap tidak lagi tertanggung dan banyak demonstrasi serta flashmob akan diadakan sepanjang hujung minggu ini.

Oleh itu Sidang Nadi Rakyat, katanya, merupakan salah satu platform untuk rakyat menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada pemimpin negara yang akan dicatatkan untuk dibawa ke Dewan Rakyat oleh Ahli ahli Parlimen Pakatan Harapan pada sesi Julai.

“Sebahagian menteri (BN – PN) macam musibat, rakyat diketepikan, tembolok mereka didahulukan.

“Hari ini kita bersidang dalam suasana yang memberikan kesan yang besar dan berat kepada rakyat. Hari ini banyak demonstrasi yang diatur sampai ke petang.

“Kerana tekanan pemimpin kerajaan hari ini berikan, hatta ingin bersidang pun mereka takut untuk mendengar suara rakyat.

“Kita terpaksa buat pada minit terakhir di tempat ini. Namun sidang ini akan berjalan untuk mendengar pendapat dari akar umbi

“Biar Petaling Jaya menjadi saksi Sidang Nadi Rakyat ini akan kita buat ke seluruh negara untuk mendengar sendiri pandangan rakyat. Pimpinan hari ini hadir, ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan akan kita ambil catatan.

“Suara di sini kita akan bawa terus ke Dewan Rakyat,” katanya dalam ucapan pembukaan sidang.

Shamsul turut mencuit hati hadirin apabila berkata jika tokoh sejarah yang dijadikan legenda filem saat ini, Mat Kilau masih hidup maka beliau juga akan menunjukkan sikap.

“Hari ini rakyat tedesak. Saya percaya kalau Mat Kilau masih hidup beliau juga akan melawan kerajaan yang tidak mempedulikan rakyat ini.

“Kita tahu hari ini kita nampak bahawa keranan BN – PN tidak berkemampuan mengendalikan masalah ekonomi. Mesyuarat 3 kementerian sekali pun tidak mampu menurunkan 20 sen harga ayam. Saya yakin pasukan jihat ekonomi akan mejaadi pasukan raja lawak,” katanya.

Shamsul dalam pada itu mengucapkan penghargaan kepada sekretariat yang menjayakan sidang tersebut dan IDE yang membenarkan pejabat mereka digunakan untuk mesyuarat perancangan.

Beliau kesal kerana kerajaan menekan penganjuran sidang dengan membatalkan penggunaan Hotel Tabung Haji biar pun telah ditempah dan dibayar sewaannya.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/kalau-mat-kilau-masih-hidup-dia-akan-lawan-kerajaan-tidak-pedulikan-rakyat-shamsul

Kenyataan Tajuddin sahkan Anwar punya majoriti bentuk kerajaan hujung 2020

Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tengah hari tadi mengesahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memang mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu pada hujung 2020 lalu.

Semalam, Tajudin mengesahkan beliau menandatangani dan melihat sendiri Akuan Berkanun (SD) yang dikumpul untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri sebelum Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu mengumumkan sokongan yang dimilikkinya dalam sidang media di Hotel Le Meridien pada 22 September 2020.

Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, pengakuan Tajuddin itu membuktikan Anwar berkata benar dan kewibawaannya tidak wajar diragui sama sekali.

“Kenyataan Tajuddin mengabsahkan ikhtiar PH untuk mengambil semula mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018.

“Kenyataan beliau hari ini juga menjelaskan bahawa memang benar PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jumlah sokongan ahli-ahli Parlimen yang mencukupi untuk merampas semula kerajaan selepas mandat rakyat dikhianati melalui Langkah Sheraton.

“Justeru, ejekan sebahagian khalayak yang melantunkan kata-kata kononnya Datuk Seri Anwar berbohong apabila menyatakan beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan pada 22 September telah pun terjawab dengan sendirinya,” kata Shamsul.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga menegaskan alasan mengapa akhirnya usaha untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri ke 9 ketika itu menemui jalan buntu, adalah disebabkan pengkhianatan pemimpin yang sebelum itu telah mezahirkan sokongan melalui Akuan Berkanun.

Oleh itu, tegas Shamsul, pemimpin seperti itu harus dikalahkan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 dan segelintir yang lain harus melalui perbicaraan penuh mahkamah untuk menyelesaikan kes terhadap mereka.

“Kenyataan Tajuddin hari ini juga menzahirkan pengkhianatan dan agenda peribadi telah pun menggagalkan usaha dan ikhtiar untuk merampas semula Putrajaya.

“Sewajarnya kita sama sekali tidak boleh memberi ruang dan berkompromi kepada pemimpin yang telah dituduh dan disabitkan di mahkamah dengan amalan rasuah dan penyelewengan yang menjijikkan.

“Mereka mesti mempunyai hari mereka di mahkamah kerana undang-undang mesti dibenarkan untuk mengambil jalannya,” kata Shamsul lagi.

Tajuddin berkata dalam sidang media tengah hari tadi bahawa beliau merupakan saksi hidup menyaksikan usaha pemimpin Umno dan PH untuk membentuk jajaran baharu kekuasaan selepas Tan Sri Mahiaddin Yassin diangkat sebagai PM pada Mac 2020.

“Jajaran baru… saya saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangan hendak sokong Anwar jadi perdana menteri, dan ada surat dihantar pada istana,” katanya dipetik.

Tajuddin juga mengakui beliau turut menandatangi SD berkenaan selepas beberapa kali ditekan oleh pucuk pimpinan Umno.

“Saya tandatangan juga, saya saksi hidup, dia (Presiden Umno, Zahid) berbohong pada orang ramai…ahli di bawah ikutlah

“Memang ada tandatangan di Hotel Tamu di Kampung Baru, jangan nafi,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/kenyataan-tajuddin-sahkan-anwar-punya-majoriti-bentuk-kerajaan-hujung-2020

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya sampai sumbangan kepada pesakit

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memberikan sumbangan kepada seorang pesakit di DUN Bukit Katil yang dimasukkan ke hospital.

“Sumbangan tunai saya beri kepada seorang warga Bukit Katil yang sakit dan dimasukkan ke hospital. Sumbangan ini bagi membiayai kos rawatan susulan.

“Selain itu sumbangan juga diserahkan kepada sebuah NGO yang melaksanakan beberapa aktiviti komuniti khususnya kepada warga di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya,” katanya, semalam.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/ahli-parlimen-hang-tuah-jaya-sampai-sumbangan-kepada-pesakit

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya hadiri sambutan Hari Komanwel

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kelmarin menghadiri sambutan Hari Komanwel 2022 di ibu negara.

Menurut beliau, sambutan Hari Komanwel tahun ini yang bertema ‘Delivering a Common Future’ diharap akan membawa inspirasi kepada Malaysia.

“Sambutan ini dianjurkan oleh Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Malaysia (CPA Malaysia) yang bertujuan untuk meraikan sumbangan Komanwel dalam usaha mewujudkan persekitaran global yang harmoni.

“Malaysia komited untuk berkerjasama dengan negara-negara anggota Komanwel ke arah mencapai keamanan sejagat dan kemakmuran bersama,” katanya.

Malaysia dan 53 negara-negara anggota Komanwel yang lain meraikan sambutan Hari Komanwel setiap tahun. Sambutan ini biasanya diadakan setiap tahun pada Isnin minggu kedua bulan Mac bagi meraikan jalinan persamaan, ikatan persahabatan dan sumbangan Komanwel dalam mewujudkan keamanan dan keharmonian.

Untuk tahun ini Hari Komanwel diadakan pada 23 Mac 2022.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/ahli-parlimen-hang-tuah-jaya-hadiri-sambutan-hari-komanwel

Akta Anti Lompat Parti: Mengapa pindaan Perlembagaan lain didahulukan?

Tindakan kerajaan BN membentangkan pindaan Perlembagaan berkait kelayakan keluarga Diraja sebagai pengundi menimbulkan reaksi keras Pembangkang.

Ahli Parlimen Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH – Hang Tuah Jaya) berkata, pindaan Perlembagaan itu tidak seharusnya didahulukan memandangkan Akta Anti Lompat Parti telah pun dipersetujui oleh pengerusi majlis, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Mac ini.

“Akan ada pindaan Perlembagaan, iaitu kelayakan pemilih yang khusus untuk memasukkan pindaan yang berkait tentang kelayakan pemilih tidak terpakai kepada Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri (YDPN) serta kaum kerabat mereka.

“Saya tak nampak rasional pindaan Perlembagaan ini. Yang diminta, satu Akta Anti Lompat Parti yang terkait dengan pindaan Perlembagaan,” katanya dalam sesi perbahasan semalam.

Beliau sebaliknya mencadangkan sekiranya pindaan Perlembagaan mahu diteruskan adalah lebih baik disekalikan dengan Akta Anti Lompat Parti dan had tempoh menjadi perdana menteri bagi menjimatkan masa.

“Biarlah ada dimasukkan perkara kita minta yang menjadi asas kepada persefahaman antara barisan pembangkang dan kerajaan.

“Justeru, saya ingin cadangkan kepada Ahli-ahli Parlimen terutama di sini barisan pembangkang supaya jangan berikan sokongan kepada pindaan ini kerana percaya pindaan ini bukan satu pindaan yang menuntut untuk disegerakan,” katanya.

Pindaan bertujuan mengecualikan Perkara 119 kepada Raja-raja dan kerabat terdekat baginda, melalui perintah yang disiarkan dalam warta akan dibahaskan hari ini.

Sebelum ini pada 2019, Perkara 119 telah dipinda untuk mengurangkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/akta-anti-lompat-parti-mengapa-pindaan-perlembagaan-lain-didahulukan

Pengeluaran KWSP: Gunakan saluran yang sahih, elak penipuan – Shamsul

Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ingin mengeluarkan secara one off RM10,000 digesa berhati hati dan tidak ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, kerap terjadi penipuan atau scammer berlaku dalam talian, yang menyediakan aplikasi dan meminta maklumat pencarum tetapi berakhir dengan pencarum kehilangan wang simpanan hari tua.

“Saya tahu ramai yang menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan satu lagi pusingan pengeluaran KWSP. Sila berhati hati ketika memohon dan hanya guna saluran yang sahih.

“Perlu diingat pengeluaran itu adalah dari tabung simpanan hari tua. Guna dengan sebaiknya dan jangan jadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.

Menurut Shamsul yang juga seorang peguam, KWSP tidak pernah melantik pihak ketiga untuk memudahkan urusan pengeluaran atau membangun sebarang aplikasi bagi tujuan meminta maklumat pencarum.

Beliau juga menggesa kerajaan bertindak segera bagi menangani hal berkenaan untuk mengelakan rakyat yang ditimpa kesusahan diambil kesempatan oleh scammers.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/pengeluaran-kwsp-gunakan-saluran-yang-sahih-elak-penipuan-shamsul

Tamatkan kecelaruan BN – PN dengan menangkan KEADILAN – PH

Kecelaruan di antara BN dan PN dalam mentadbir negeri Johor perlu diselesaikan dengan memenangkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Hal itu disampaikan oleh Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam ceramah di Felda Bukit Batu, malam tadi.

“Sepatutnya sebagai kerajaan dihidangkan apa solusi (bantu rakyat). Baru baru ini di Dewan Rakyat saya minta kerajaan supaya tetapkan pilihan raya lima tahun sekali. Pinda Perlembagaan tetapkan Pilihan Raya Umum (PRU), PRN 5 tahun sekali. Macam negara maju lain.

“Kedua tetapkan had PM 10 tahun sahaja. Kalau tidak pilihan raya saja. Yang susahnya kita. Lepas PRU 3 – 4 tahun ada PRN. Kalau dulu kita selaras dengan PRU. Johor kos PRN RM150 juta. Elok beri bantuan rakyat.

“Baru ini MP Johor Bahru, Akmal bawa dalam dewan mengenai harga barang. Dia tanya menteri PN. Bagaimana nak selesai harga barang. Menteri PN kata sebenarnya PRN Johor tak payah, duit boleh belanja untuk rakyat. Dia sama dia pun bercelaru

“Oleh itu tamatkan kecelaruan ini. Caranya pada 12 Mac beri mandat kepada KEADILAN untuk mentadbir negeri Johor supaya ada nokhtah kepada kecelaruan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu meminta pengundi di Johor melihat ‘kejayaan’ pentadbiran BN dengan harga barang melambung.

Biar pun, katanya, harga sawit tinggi tetapi peneroka tidak juga hidup senang kerana harga racun dan baja melambung

“Sekarang di Felda harga baja naik, racun nain. Ayam naik.

“Sawit sekarang harga tinggi RM6,000. Tengok minyak masak harga meningkat, tak ada bekalan. Kita banyak sawit tetapi minyak tak ada.

“Saya cadangkan orang Felda pergi petik buah proses minyak sendiri,” sinis beliau.

Menyifatkan gebungan BN dan PN di peringkat Persekutuan sering bercakaran dan gagal menarik pelabur menyebabkan ekonomi meleset Shamsul mengingatkan agar gabungan itu tidak memerintah Johor untuk 5 tahun akan datang.

“Tengok BN dan PN setiap hari kita tengok berkelahi. Zahid bantai Muhyiddin, Muhyiddin bantai Zahid.

“Azmin Ali bantai Najib, Najib jawab muka Azmin kabur. Tetapi mereka kata nak kestabilan. Stabil apa macam ini?

“Kalau di peringkat Persekutuan mereka jadi menteri kerajaan, di negeri BN letak 56 calon PN pun letak 56 calon. Apa nak jadi,” katanya.

Shamsul meminta pengundi Johor mencontohi Selangor yang maju dan kerana rakyatnya terus memberi peluang PH mentadbir. PH menyediakan bermacam macam skim bantuan kepada rakyat

“Orang kata PH sembang sahaja. Benar kita ada sikit kesilapan. Baru tadbir 22 bulan, bukan 22 tahun. BN sejak merdeka.

“Contohi Selangor, 2008 kita menang, 2013 kita menang. Kita buat banyak program untuk rakyat. Baru ini banjir orang hentam tetapi dalam sebulan kita bagi bantuan dan selesai masalah. Tengok Pahang 2 – 3 bulan tak selesai masalah. Itu negeri PM sendiri.

“Negeri Sembilan pun sama kita jadi kerajaan. MB Negeri selalu turun bersama rakyat, selesai masalah segera. Kalau ada pilihan raya, inshaAllah kita menang sekali lagi di sana.

“Kita minta Johor dapat balik ke PH untuk kita pimpin semula,” katanya lagi

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/tamatkan-kecelaruan-bn-pn-dengan-menangkan-keadilan-ph

Tubuh jawatankuasa bi-partisan lawan rasuah, mana amaran awal banjir?

Penubuhan jawatankuasa bi-partisan anti rasuah dan sistem amaran awal banjir menjadi tajuk ucapan perbahasan Ahli Parlimen Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH – Hang Tuah Jaya).

Menurut beliau perbicaraan bekas pegawai kewangan Goldman Sachs, Tim Leissner di New York telah membuktikan amalan korupsi dilakukan secara institusi dan bukan lagi persendirian.

“Perbicaraan Tim Leisnner di New York dengan hujah dan bukti diberikan merupakan perkara paling serius terkait undang undang akta pencegahan rasuah.

“Sewaktu Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim) menjadi pemangku PM pada 1997, undang undang dipinda berkait akta pencegahan rasuah. Undang undang dipinda lebih ketat untuk memastikan personaliti dan individu dalam kerajaan atau swasta apabila mereka melakukan rasuah akan diberikan hukuman yang ketat.

“Justeru pindaan itu menyaksikan Ketua Pembangkang melalui jalan berliku dalam politik sehingga disumbat ke dalam penjara 2 kali. Sekarang ini masanya saya ingin tanya kepada kerajaan mengenai pelan anti rasiaul nasional? Saya menyarankan kerajaan mengkaji semula undang undang ini untuk menghalang institusi pula terbabit dengan penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat.

“Kalau kita lihat 1MDB, ia bukan lagi untuk individu. Ia dalam bentuk institusi yang berkait dengan Bank Negara dan institusi (pentadbiran). Bermakna kalau tak ada undang undang yang ketat akan berlaku kebocoran yang menyebabkan bukan sekadar jutaan tetapi bilion wang rakyat dibazirkan,” katanya dalam sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, kelmarin.

Menurut Shamsul lagi, jawatankuasa kerajaan dan pembangkang itu nanti jika diwujudkan akan menunjukkan keseriusan Malaysia di mata dunia dalam memperbaiki rekod buruknya dan tidak akan mengulangi zaman gelap era pemerintahan bekas PM Najib Razak.

“Saya rasa sampai masanya Parlimen melaksanakan jawatankuasa bi-partisan itu agar kita dapat teliti agenda pemerkasaan pencegahan rasuah ini agar kedua dua pihak dapat berkerjasama dalam jihad untuk membanteras rasuah yang kini sampai ke peringkat institusi.

“Saya tidak hairan kita dengar dalam dewan Ahli Parlimen Pekan tanpa rasa malu menyatakan bahawa tidak ada sesen pun wang rakyat digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB. Kemudian dijawab oleh Menteri Kewangan hutang prinsipal 1MDB adalah sebanyak RM32 bilion, sementara RM6.5 bilion pula bayaran faedah yang bagi saya adalah memalukan,” katanya.

Selain itu beliau juga membangkitkan isu banjir kilat yang melanda ibu negara kelmarin yang menyaksikan warga Kuala Lumpur kerugian besar apabila beratus ratus kereta tersekat di dalam banjir

Shamsul bertanya kepada Kementerian Alam Sekitar yang sedikit masa dahulu pernah berjanji untuk membangunkan sistem amaran awal banjir tetapi sehingga hari ini belum wujud sistem seumpama itu

“Saya ingin bangkitkan dalam dewan ini tentang perubahan iklim. Saya ingin tanya kementerian yang menjaga perkara ini bagaimana perancangan kerajaan untuk memastikan rakyat memahami tentang kepentingan perubahan iklim. Apakah kita sudah bergerak memastkikan segala undang undang berkaitan ‘new green deal’ ini dilaksanakan?

“Saya minta kepenterian jaga iklim ini jangan tertumpu kepada karbon trading semata mata. Kementerian sedikit masa dahulu berkata ke arah menyediakan maklumat (banjir) lebih awal. Saya tidak terima mesej atau WhatsApp yang meminta rakyat berhati hati (banjir di Kuala Lumpur), jadi sampai bila kita nak bebankan rakyat dengan perkara ini?

“Bila bencana apa rakyat dapat? RM100, RM500, RM1,000. Dengan perabot musnah kerajaan beri RM1,000 maksimum. Hal hal mengenai perubahan iklim ini wajar diutamakan,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/tubuh-jawatankuasa-bi-partisan-lawan-rasuah-mana-amaran-awal-banjir

Pinda Perlembagaan, tetapkan PRU lima tahun sekali – Shamsul Iskandar

Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk menerapkan sistem pilihan raya yang lebih baik di Malaysia.

Hal itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH – Hang Tuah Jaya) berikutan ‘kegilaan’ sesetengah pihak mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) hampir setiap bulan.

“Ada semacam satu kegilaan pilihan raya sekarang ini oleh kalangan parti tertentu dalam kerajaan, yang seolah olah memanfaatkan undang undang yang ada bagi mencetuskan semacam ketidakstabilan. Sebagaimana kita lihat sekarang ini di negeri Johor berlaku pilihan raya dalam keadaan Covid varian Omicron mencecah 30,000 jangkitan sehari

“Kita sedia maklum dalam Perlembagaan selepas tempoh 3 tahun boleh dibuat pilihan raya sehingga 5 tahun. Justeru ada ruang yang digunakan oleh pihak berkepentingan untuk mendesak pilihan raya. Kita masih tidak lupa tahun lepas waktu kes Delta sedang meningkat, ramai masuk hospital, ramai pergi meninggalkan kita (mati) tetapi ada kalangan yang mahu buat Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka.

“Kemukakan SOP tidak masuk akal, seolah olah tidak boleh berkempen walaupun diadakan pilihan raya

“Sebab itu saya minta kerajaan terutama menteri yang berkaitan undang undang Persekutuan ini, saya ingin tanya kepada menteri supaya ditetapkan tarikh pilihan raya itu 5 tahun. Apa pun berlaku 5 tahun penggalnya. Tidak perlu pembubaran lebih awal,” katanya dalam sesi perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, kelmarin.

Menurut Shamsul lagi, pilihan raya pada setiap bulan memakan kos yang amat tinggi sedangkan PRN boleh diadakan bersekali dengan Pilihan Raya Umum (PRU) kerana tempoh matang penggal DUN yang tidak jauh.

“Sekarang setiap negeri buat PRN. Kalau dahulu kita hanya ada Sarawak buat PRN. Kemudian kita selaraskan di Sabah. Sekarang Melaka buat PRN, Johor pun berbeza dari PRU. Isunya adalah ongkos, perbelanjaan yang sepatutnya diberikan tumpuan membantu rakyat pasca pandemik Covid diguna untuk melaksanakan pilihan raya

“Oleh itu saya nak desak Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau PM sendiri, kita baru ini bincang untuk tetapkan had masa PM 10 tahun. Pinda Perlembagaan.

“Saya cadangkan dipinda Perlembagaan supaya PRU itu tetap 5 tahun sekali. Jangan ada mana mana pihak yang mengambil kesempatan membubarkan dewan lebih awal dan mewujudkan ketidakstabilan,” katanya.

Selain itu, Shamsul juga mahu sistem pilihan raya Malaysia mempunyai tarikh yang khusus untuk DUN atau Parlimen.

Hal itu, katanya lebih munasabah dan memudahkan parti parti yang bertanding melakukan persediaan awal.

“Dalam masa sama, saya mendesak PM menyahut cabaran ini supaya dapat memberikan kita satu tarikh yang khusus bila nak dibuat pilihan raya

“Kita lihat beberapa negara lain menggunakan pendekatan ini. PRU 5 tahun sudah ada tarikhnya. Rakyat diberitahu awal. Tidak perlu berteka teki. Parti politik pun tak perlu berteka teki,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/pinda-perlembagaan-tetapkan-pru-lima-tahun-sekali-shamsul-iskandar